Tiga maut, Myvi bertembung treler

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 Jun : Tiga individu maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah treler di hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai B Janani Sri, 25, PS Thamilselvam, 25, dan PS Sasitaran,18.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.30 pagi.  

“Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan treler yang dipercayai telah bertembung.

“Kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Rawang ke Serendah manakala treler datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.