PRU15 : Lidang Disen calon GPS rampas Parlimen Mas Gading daripada DAP ?

Spread the love

KUCHING, 30 Jun : Parti Demokratik Progresif (PDP) berikrar untuk meletakkan calon terbaik di Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) akan datang sekaligus merampas kerusi itu daripada genggaman DAP.

Naib Presiden Kanannya, Dato Henry Harry Jinep berkata, ketika ini sudah ada beberapa nama yang ‘disebut’ untuk bertanding di situ.

Ujarnya, antara pemimpin yang dikaitkan untuk mengibarkan panji Gabungan Parti Sarawak (GPS) di situ termasuklah Exco PDP, Lidang Disen.

“Nama yang disebut di Mas Gading ini sebenarnya beliau sudah bergerak ke kawasan.

“Kita (parti) juga telah bantu untuk memperkenalkan dirinya dengan masyarakat setempat. Selepas itu kita akan lihat bagaimana penerimaan rakyat,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Henry Harry yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, Lidang turut memiliki beberapa kelebihan lain termasuk latar pendidikan tinggi serta seorang ahli perniagaan yang berjaya.

“Beliau telah melakukan kerja-kerja kemasyarakatan sejak era Barisan Nasional (BN) di Sarawak lagi,”katanya.

Ujar Henry,beliau yakin pengalaman Lidang dalam arena politik dan sikap mesranya akan dapat membawa kemenangan kepada GPS.

Sementara itu, Lidang berkata, beliau bersedia sekiranya dicalonkan malah berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Sekiranya dipilih oleh pimpinan PDP dan GPS untuk bertanding di sini, saya akan membawa semua isu-isu setempat dan seterusnya berusaha untuk memajukan kawasan iniu,”katanya.

Pada PRU-14, Mordi Bimol (Pakatan Harapan – DAP) menang kerusi berkenaan selepas menewaskan Nogeh Anak Gumbek yang ketikan itu mewakili BN dengan majoriti 3,024 undi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.