Polis buka kertas siasatan kematian mengejut guru di Miri

Spread the love

KUCHING, 30 Jun : Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes kematian seorang guru lelaki di Hospital Miri pada 21 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, siasatan kini bertumpu untuk mengenal pasti punca kematian guru itu yang mengajar di sebuah sekolah rendah.

Katanya, polis juga telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kertas siasatan yang dibuka untuk kes ini ialah berkaitan mati mengejut,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu.

Pada masa sama Alexson turut meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Nixon Malang di talian 085-433730.

Sebelum ini tular di Facebook mengenai hantaran yang mendakwa seorang guru dikenali sebagai Cikgu Ting dipercayai membunuh diri akibat tekanan kerja dan keletihan.

Guru itu disyaki menelan pil dalam kuantiti yang banyak sebelum dihantar ke Hospital Miri namun disahkan meninggal dunia.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih berhubung kejadian itu termasuklah bekas pelajar yang menyifatkannya sebagai seorang yang lemah lembut dan fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.

Pada masa yang sama, keluarga mendiang dalam satu kenyataan di Facebook menyeru agar pihak berkuasa termasuklah Pejabat Pendidikan Daerah Miri untuk menjalankan siasatan lanjut. -TVS

Tags: guru, IPDMiri, Miri

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.