50,000 penjaja kecil Sarawak guna S Pay Global

Spread the love

KUCHING, 30 Jun : Aplikasi pembayaran tanpa tunai S Pay Global yang dilancarkan Kerajaan Sarawak turut dimanfaatkan oleh seramai 50,000 penjaja kecil di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, ini menunjukkan kumpulan berkenaan turut memanfaatkan teknologi kewangan selaras dengan penekanan terhadap ekonomi digital oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya manfaat kemudahan itu perlu terus disebarluaskan memandangkan terdapat sekitar 5,000 peniaga kecil masih belum mempunyai akaun S Pay Global.

“Selain itu terdapat kira-kira 8,000 penjaja juga menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) secara tunai.

“Justeru saya berharap agar penjaja agar dapat belajar menguasai teknologi bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Penjaja Sarawak ke-22 di sini baru – baru ini.

Sementara itu, Dr. Sim turut mencadangkan agar Persatuan Penjaja dan Peniaga Kuching Samarahan tampil merekrut ahli daripada pelbagai kumpulan etnik lain untuk menyertai persatuan.

“Ini bagi memperkukuh organisasi agar lebih kondusif untuk memperjuangkan kebajikan semua pihak.

“Ketika pandemik COVID-19 merebak, semua lapisan masyarakat berdepan kesukaran, namun kita berterima kasih atas solidariti rakyat Sarawak termasuk mengadakan aktiviti Bantuan Makanan Penyayang oleh persatuan ini tanpa mengira kaum dan menjaga setiap rakyat Sarawak,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.