Tiada laporan rasmi guru didakwa bunuh diri akibat tekanan kerja – Polis

Spread the love

MIRI, 29 Jun : Polis tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kes seorang guru yang didakwa meninggal dunia akibat kejadian bunuh diri seperti yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya mengesan kenyataan itu di media sosial namun tidak diketahui sumber termasuk identiti penulis, tarikh dan masa hantaran itu dibuat.

Sehubungan itu, Alexson Naga meminta warganet supaya berhenti menyebarkan perkara itu menerusi media sosial mereka.

“Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan menimbulkan kegusaran awam.

“Sekiranya mereka mempunyai maklumat berkaitan, diminta tampil untuk membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi TVS.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai hantaran yang mendakwa  seorang guru dikenali sebagai Cikgu Ting dipercayai membunuh diri akibat tekanan kerja dan keletihan.

Guru itu disyaki menelan pil dalam kuantiti yang banyak sebelum dihantar ke Hospital Miri namun disahkan meninggal dunia.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih berhubung kejadian itu termasuklah bekas pelajar yang menyifatkannya sebagai seorang yang lemah lembut dan fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.

Pada masa yang sama, keluarga mendiang dalam satu kenyataan di Facebook menyeru agar pihak berkuasa termasuklah Pejabat Pendidikan Daerah Miri untuk menjalankan siasatan lanjut.

Kesatuan Guru Sarawak (STU) Cawangan Miri ketika dihubungi TVS enggan mengulas mengenai perkara namun memuat naik hantaran ucapan takziah kepada keluarga guru berkenaan menerusi media sosial.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.