Songket Sarawak diiktiraf warisan budaya tidak ketara oleh UNESCO

Spread the love

KUCHING, 29 Jun : Songket Sarawak diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan itu diyakini akan dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi di negeri ini menerusi industri pelancongan dan seterusnya mempromosikan warisan budaya, kraf dan tradisi.

Katanya, songkek yang mempunyai seni tenunan yang agak rumit itu juga berpotensi dalam melestarikan asas warisan budaya oleh komuniti global.

“Dengan asas warisan budaya ini kelak bakal menawarkan peluang untuk pembangunan yang lebih mampan bagi warisan budaya tidak ketara di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kemanusiaan dan Komuniti Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Selain itu, menurut Abang Johari, kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Songket di seluruh Sarawak yang menawarkan ruang untuk pendidikan, latihan dan pengeluaran bagi menggalakkan pembuatan songket.

Sehubungan itu, ujarnya, pusat berkenaan juga boleh menjadi koperasi yang membantu memasarkan Songket Sarawak sebagai produk dan membolehkan komuniti tempatan mengekalkan industri songket mengikut daerah masing-masing.

“Penggunaan songket ketika acara rasmi negeri serta mempromosikan penggunaannya semasa persembahan tradisional seperti silat atau tarian akan dapat menaikkan permintaan songket di pasaran,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.