Pijak kepala sampai mati, peniaga dihukum gantung

Spread the love

MELAKA, 29 Jun : Tindakan seorang peniaga memijak kepala seorang lelaki selama seminit hingga maut, enam tahun lalu,  membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tertuduh, S. Pandiaraj, 33, kelihatan tenang ketika Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. 

Ahmad Nasfy, dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati kecederaan dialami S. Ammos Devaprraven, 27, tidak konsisten dalam kemalangan jalan raya seperti yang didakwa saksi tetapi disebabkan pijakan berkali-kali yang bertumpu pada bahagian kepala.

Katanya, berdasarkan penelitian keterangan saksi pendakwaan dan disokong oleh saksi forensik, tindakan tertuduh sendiri telah menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut.

“Selepas menimbang dengan berhati-hati, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keterangan munasabah terhadap kes pendakwaan. 

“Mahkamah tiada option (pilihan) kecuali hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Terdahulu mengikut pertuduhan, S. Pandiaraj bersama dua lagi yang masih bebas didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian mangsa di hadapan Chithras Mini Mart, Jalan Tun Ali di daerah Melaka Tengah, sekitar jam 4.30 pagi, 21 Okt 2016.

Mangsa telah dipijak selama seminit selepas tertuduh tidak berpuas hati dengan kata-kata yang dikeluarkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Melaka oleh saksi dan membuat laporan palsu dengan mendakwa si mati dilanggar lari.

Bagaimanapun, salah seorang saksi menghubungi abang si mati dan memberitahu perkara sebenarnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja.

Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang prosiding dijalankan sejak 2018. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.