Kejayaan tiga emas tinju di Perlis petanda Sarawak bersedia hadapi SUKMA

Spread the love

KUCHING, 29 Jun : Kejayaan skuad tinju Sarawak membawa pulang tiga pingat emas pada Kejohanan Golden Gloves 2022 di Perlis baru-baru ini merupakan satu petanda baik menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, beliau turut berbangga dengan prestasi konsisten yang dipamerkan oleh Daeloniel McDelon atau Kilat Boy bersama rakan-rakannya pada pertandingan itu.

“Mereka mampu meletakan Sarawak pada kedudukan yang tinggi dalam sukan tinju negara.

“Saya berpendapat, dia (Daeloniel) boleh pergi lebih jauh, begitu juga dengan petinju lain yang membawa kemenangan.

“Ini merupakan satu penanda aras untuk Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan datang,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Kebangsaan di sini, hari ini.

Pada perlawanan akhir Ahad lepas, Daeloniel menepati ramalan apabila menyumbang pingat emas dalam kategori 57 kilogram (kg).

Rakan sepasukan, Mohammad Hellmi Chieng pula menjuarai kategori 67kg manakala sebutir lagi emas disumbangkan oleh atlet remaja, Lam Wee Liang dalam kategori 60kg.

Pada temasya kali ini, Sarawak akan menghantar seramai 10 petinju dengan tujuh daripadanya merupakan atlet SUKMA manakala tiga petinju daripada skuad remaja.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.