Kabinet tubuh pasukan khas jihad tangani inflasi – PM

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Jun : Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ismail Sabri berkata langkah itu diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu akan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan dianggotai lima ahli iaitu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan  untuk memberi maklum balas segera kepada pasukan khas itu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku urus setianya. 

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.