Tidak diberikan tugas punca keluar BERSATU

Spread the love

KOTA KINABALU, 28 Jun : Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi menjelaskan ‘kegagalan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberikan peranan merupakan antara punca beliau memilih untuk keluar parti itu.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu berkata, setelah lebih enam bulan menyertai parti itu, tidak ada sebarang tanggungjawab diserahkan kepadanya.

“Saya telah dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya iaitu Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama namun tiada tugas diserahkan,”katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mengumumkan keluar parti itu hari ini dan memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, beliau yang ketika itu Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang kerusi parlimen itu dengan majoriti 6,401 undi.

Mohamaddin turut menang kerusi DUN Segama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah.

Pada Oktober tahun lepas, beliau mengumumkan keluar WARISAN dan menjadi wakil rakyat bebas dan menyertai BERSATU pada November.

Ditanya sama ada akan mempertahankan Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU-15) akan datang, beliau berkata akan mempertimbangkan demi kepentingan rakyat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.