Sarawak sasar jadi pengeksport daging lembu halal di rantau ASEAN

Spread the love

SIBURAN, 28 Jun: Sarawak berhasrat untuk menjadi pengeksport daging lembu halal untuk pasaran di Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, sasaran berkenaan boleh direalisasikan kerana terdapat fasiliti penternakan berskala besar serta kondusif di negeri ini di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Katanya, apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri melalui SEDC merupakan pendekatan terbaik untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negeri.

“Insya-Allah berdasarkan apa yang kita miliki, pada masa akan datang, Sarawak boleh menjadi pemain utama dalam industri halal bukan sahaja di Malaysia malah di wilayah ASEAN,”katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan penyembelihan dan pemprosesan daging lembu di  PPES Ternak Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, industri halal mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi memandangkan nilai ekonomi halal global dijangka meningkat kepada RM10 trilion menjelang 2024.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Rahman turut memaklumkan, bahawa bekalan daging lembu untuk ibadah korban perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini di Sarawak mencukupi.

“Berdasarkan maklumat kita perolehi iaitu dengan adanya bekalan daging lembu yang diternak oleh SEDC di utara Australia, pastinya stok daging halal di Sarawak mencukupi,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat tidak melakukan pembelian panik, namun pada sama tidak menggalakan mereka membeli pada saat akhir. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.