Peruntukan tambahan RM100 juta untuk SPIM TEKUN, RM30 juta BEEP – PM Ismail Sabri

Spread the love

KUALA LUMPUR,  28 Jun : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi program Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corporation Malaysia.

“Saya dimaklumkan SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM200 juta  sebelum ini sudah habis dan peruntukan RM20 juta bagi BEEP untuk tahun 2022 juga telah habis.

“SPIM pinjaman yang popular untuk pembiayaan peniaga informal dan mikro…untuk kepentingan usahawan kecil, saya umumkan peruntukan RM100 juta lagi untuk SPIM.

“Saya umumkan juga peruntukan tambahan RM30 juta untuk BEEP,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022, di sini malam tadi.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata sektor perniagaan dijangka terus menyumbang ke arah usaha pemulihan ekonomi negara, hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata pembangunan keusahawanan antara inti pati pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara, selain menjadi teras kepada penciptaan daya inovasi dan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Kerajaan terus bersedia membantu golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

“Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) demi memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta banyak peluang pekerjaan diwujudkan,” katanya. 

Perdana Menteri berkata sektor perniagaan terutamanya PMKS kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.