Pembantu perawatan kesihatan ‘hilang’ wang simpanan KWSP, ditipu sindiket tawaran kerja

Spread the love

KANGAR, 28 Jun : Seorang Pembantu Perawatan Kesihatan kerugian RM37,361 apabila wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja yang tidak wujud.

Ketua Polis Padang Besar ACP  Mohd Shokri Abdullah berkata wanita berusia 26 tahun itu terpergaruh setelah melihat iklan di laman Facebook  yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

“Setelah melihat iklan di facebook ‘ONLINE WORK’ dan mangsa telah berurusan dengan seorang individu yang memperkenal diri sebagai ‘Agnes’ dari syarikat “SP eCommerce” untuk urusan tawaran kerja secara dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya mangsa telah diperkenalkan dengan cara membeli pelbagai produk bagi tujuan menaikan rating dan mangsa kemudian akan mendapat imbuhan komisen setelah barangan tersebut dijual oleh pihak mereka.

“Mangsa telah membuat lapan kali transaksi ke empat akaun bank suspek sepertimana yang telah diarahkan…namun apa yang dijanjikan tidak diperoleh malah mangsa kerugian wang simpanan peribadi dan KWSP miliknya,” katanya.

Mohd Shokri berkata modus operandi sindiket ialah mengiklankan tawaran kerja yang mudah dan menguntungkan dalam masa singkat melalui media sosial dengan mangsa akan diberikan pulangan pada awalnya dan setelah mangsa terpikat, sindiket akan meningkatkan jumlah pembelian sehingga menyebakan mangsa terjerat.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melalukan penipuan.

Katanya hasil siasatan awal menerusi semakan di ‘semakmule.rmp.gov.my’mendapati  terdapat  tiga laporan polis dibuat  ke atas nombor  akaun bank terbabit dan dua laporan terhadap nombor talian yang digunakan oleh sindiket sebelum ini.

“Orang ramai dinasihati agar mengunakan applikasi ‘Semak Mule Account’ di https://semakmule.rmp.gov.my bagi menyemak nombor  akaun dan nombor  telefon ketika membuat sebarang urusan secara dalam talian,” katanya. –TVS

Tags: facebook, scam

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.