Lima sekeluarga maut kemalangan dengan treler

Spread the love

KUANTAN, 28 Jun : Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dan seorang bayi maut apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuantan- Segamat, kira-kira 3 petang di sini hari ini.

Mereka yang maut pasangan suami isteri Muhammad Rosli Ibrahim, 33, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35 dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, serta seorang bayi lelaki yang belum dikenal pasti identiti.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Muhammad Rosli yang memandu kereta jenis Toyota dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan treler berkenaan.

“Pemandu treler yang berada di laluan Kuantan-Segamat cuba mengelak ke kiri jalan, namun kerana jarak terlalu dekat telah melanggar bahagian hadapan kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu treler berusia 26 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mangsa yang beralamat di Perak telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.17 petang tadi sebelum 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Chini dan Taman Tas digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.