Jawatankuasa sekuriti makanan peringkat negeri, daerah akan ditubuhkan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 28 Jun : Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini dan turut dihadiri oleh Menteri-menteri Kabinet yang berkaitan.

Ismail Sabri berkata mesyuarat itu memberikan penekanan untuk mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini dan kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan tujuh inisiatif bagi tujuan itu.

Beliau berkata kerajaan negeri bersetuju untuk meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian dengan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudian memajakkan tanah itu di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

“Selain itu, memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

Pihak berkuasa negeri juga boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri, meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata inisiatif-inisiatif lain termasuk mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan, serta mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

Selain itu, kerajaan negeri bersetuju menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

“Kerajaan negeri juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan, dan menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan,” katanya.

Ismail Sabri berkata antara cabaran yang dihadapi dalam isu sekuriti bekalan makanan negara adalah peningkatan harga input pertanian seperti harga jagung bijian dan baja, kenaikan kos logistik serta cuaca ekstrem yang menyebabkan kekerapan berlakunya banjir dan kemarau yang mengganggu kitaran pengeluaran makanan.

Katanya Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan.

“Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut,” kata Perdana Menteri. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.