UNIMAS diberi kepercayaan, bina makmal penyelidikan pertanian kawasan pedalaman

Spread the love

KUCHING, 27 Jun: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diberi kepercayaan untuk melakukan penyelidikan berkaitan produktiviti hasil pertanian di Sarawak.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada masa sama, UNIMAS juga akan membantu memberi pendidikan  berkaitan pertanian kepada masyarakat.

Malah, beliau yang juga Pro Canselor UNIMAS percaya institusi tersebut akan mempunyai kepakaran dalam hal berkenaan yang dapat membantu kerajaan negeri memberi keyakinan kepada masyarakat untuk menceburi bidang pertanian sebagai sebuah perniagaan.

“Saya telah berunding dengan pihak UNIMAS untuk membuat makmal di luar bandar. Apabila dah ada makmal, maka mereka boleh melatih masyarakat di kawasan tersebut termasuk petani kita lebih-lebih lagi petani muda yang ada latar belakang mengenainya,” katanya ketika merasmikan Konvokesyen Komemoratif UNIMAS.

Tambah Abang Johari, penubuhan makmal berkenaan juga akan menyaksikan lebih banyak aktiviti pertanian moden dan komersial dilaksanakan penduduk.

Jelasnya, pendedahan sedemikian juga boleh menarik generasi muda untuk melihat pertanian sebagai perniagaan dan bukannya kerjaya kelas rendah.

“Kita sedang melakukan penyelidikan berkaitan pertanian dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport menjelang 2030 dan mengurangkan kebergantungan import.

 “Oleh itu, saya lihat masa yang diambil untuk melihat hasil penyelidikan itu tidak mengambil masa  lama memandangkan input semua kita ada, sekarang ini kita  hanya perlu  meyakinkan para petani terutama petani dalam kalangan golongan muda untuk melihat pertanian sebagai sebuah perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menaruh harapan  UNIMAS  dapat memainkan peranan menghasilkan  lebih ramai pakar dalam bidang pertanian ketika negara sedang menghadapi krisis bekalan mentah.

Ujar beliau, komitmen daripada warga serta graduan universiti itu diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menghasilkan kepakaran dalam bidang berkenaan serta usaha menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih produk makanan menjelang 2030. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.