Remaja ditemui lemas selepas hilang ketika mandi di tasik

Spread the love

SARIKEI, 27 Jun – Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di sebuah tasik di Jalan Kin San di sini, malam tadi.

Mayat Terry Leon Zi Jun 13, ditemui terapung di permukaan tasik berkenaan oleh ahli keluarganya sendiri pada kira-kira 12.30 tengah malam sebelum mereka memaklumkan penemuan itu kepada pihak Polis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba, Mahmudin Narudin berkata, seramai empat anggota diketuai Pegawai Kanan Bomba II, Bakar Ujang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.35 malam.

“Sebaik tiba, kami hanya menjumpai selipar mangsa di tepi tasik itu. Bomba kemudiannya melakukan pencarian namun gagal menemui mangsa sehingga operasi terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca gelap,”katanya ketika dihubungi.

Mahmudin berkata, mayat mangsa akhirnya ditemui terapung kira-kira dua jam kemudian berhampiran jentera pengorek tanah di tasik itu.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis dan operasi ditamatkan pada jam 1.00 pagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.