Perlu masa wujudkan ekosistem perfileman

Spread the love

KUCHING, 27 Jun: Pembangunan ekosistem perfileman yang mantap di Sarawak tidak akan berlaku dalam masa yang singkat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Prof Dr. Md Nasir Ibrahim, apa yang penting ialah kesedaran mengenai apakah ekosistem yang perlu dibangunkan.

Katanya, usaha untuk membangunkan modal insan dalam bidang seni perfileman sahaja tidak mencukupi kerana hala tuju selepas itu masih belum dapat dipastikan.

“Maka perlu ada platform untuk mereka menggunakan bakat dan pengetahuan yang mereka ada setiap pengalaman yang mereka ada di Sarawak juga. Maka perlu ada penerbit, dan penerbit pula perlukan dana.

“Kalau nak berharap kepada FINAS, ada had. Harap pada TVS pun, sama juga ada had dia. Maka saya melihat bahawa kita perlu bangunkan satu lagi yang penting dalam ekosistem iaitu, pembiayaan. Pembiayaan dana bukan daripada kerajaan, tetapi dari institusi kewangan misalnya,” katanya menerusi temubual eksklusif bersama TVS, di sini hari ini.

Mengambil contoh negara barat, jelasnya para penerbit dibenarkan untuk mendapat pinjaman kewangan daripada pihak bank.

Namun, situasinya berbeza di Malaysia, yang mana para penerbit bergantung kepada dana daripada pihak tertentu.

Selain itu, katanya, antara aspek penting untuk pembangunan ekosistem perfileman di Sarawak ialah daripada sudut penyediaan fasiliti penggambaran.

“Kalau dari Amerika Syarikat, sukar untuk penerbit bawa semua peralatan.” ujarnya.

Untuk rekod, FINAS kini giat mempromosikan Film in Malaysia Incentive (FIMI) sebagai usaha untuk meletakkan pengeluar filem domestik dan juga antarabangsa untuk membuat filem di Malaysia. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.