Ops Anti Sorok: KPDNHEP Sibu periksa 5,262 premis sepanjang Januari

Spread the love

SIBU, 27 Jun : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu telah menjalankan pemeriksaan ke atas  5,262 premis perniagaan dan 51 siasatan aduan berkaitan kepenggunaan melalui ‘Op Anti Sorok’ sejak Januari tahun ini.

Ketua Cawangannya, Kelyn Bolhassan berkata, operasi berkenaan bertujuan untuk memastikan tiada individu dan syarikat melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan atau subsidi.

Pada masa sama katanya operasi juga bertujuan untuk membanteras aktiviti haram berkenaan agar tidak mendatangkan kesan buruk kepada negara.

Menurutnya, pemantauan dan pemeriksaan secara harian tersebut telah memberi impak yang positif kepada pengguna dan peniaga.

Didapati ujarnya, tiada kegiatan atau kes berkaitan aktiviti menyorok barang kawalan dilaporkan setakat ini dan pencegahan sentiasa dipertingkatkan selaras dengan peredaran masa agar tiada aktiviti penyorokkan barang kawalan berlaku di masa hadapan.

“Pihak KPDNHEP memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan atau subsidi bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, individu atau syarikat yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Barang (AKB) 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi individu perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Sementara orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan penyelewengan atau penyorokkan barang kawalan pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian ini melalui;

(I) Aplikasi telefon pintar Ez ADU

(ii) laman web e-aduan.kpdnhep.gov.my

(iii) emel ke alamat [email protected]

(iv) lapor atau hadir ke Pejabat KPDNHEP cawangan Sibu di Wisma Persekutuan Blok 3, 96000 Sibu, Sarawak

atau hubungi nombor telefon pejabat KPDNHEP Cawangan Sibu: 084-335622 atau whatsapp ke 019 279 4317. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.