Gara – gara salah faham , dua maut ditetak di Kalumpang

Spread the love

SEMPORNA, 27 Jun : Dua lelaki warga asing maut selepas ditetak dengan parang di kawasan berhampiran sebuah gereja, di Ladang Pinang, Kalumpang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa berumur 52 dan 57 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian tangan, tengkuk, leher dan kepala akibat tetakan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, polis menerima aduan pada pukul 6.21 petang dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Seorang suspek yang merupakan lelaki warga asing berumur 29 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu telah ditahan berhampiran kawasan klinik milik ladang tersebut.

“Suspek menyerah diri selepas berjaya dipujuk anggota polis dan kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd. Farhan berkata, mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat manakala siasatan di tempat kejadian turut menjumpai parang yang digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah itu.

Difahamkan kejadian itu berpunca akibat berlaku perselisihan faham antara salah seorang mangsa dengan suspek di lokasi kejadian.

Suspek kemudiannya mengambil sebilah parang dan menetak mangsa manakala mangsa kedua yang cuba meleraikan keadaan juga turut ditetak.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.