Sarawak bersedia jadi venue kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa

Spread the love

KUCHING, 26 Jun : Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyokong penganjuran kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa yang ingin dilangsungkan di Sarawak.

Timbalan Menterinya, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, ini kerana ia dapat menjadi medan untuk mengukur kemampuan persatuan sukan negeri dan atlet Sarawak apabila bersaingan dengan peserta antarabangsa.

“Oleh itu kementerian serta Majlis Sukan Negeri Sarawak gembira untuk menyokong apa sahaja kejohanan di sini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Boling Jemputan Sarawak Hornbill 2022 di Megalane Batu Kawah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Morshidi Frederick, Presiden Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS), Sunny Si Poh Heng dan Timbalan Presiden Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS), Hi Shaifulbahri Shukri.

Seramai 210 peserta dari 10 negara iaitu Singapura, Australia, Brunei, Filipina, Thailand, Ireland, United Kingdom, Hong Kong, Vietnam Malaysia menyertainya.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 168 merupakan pemain boling Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Presiden ABAS, Robert Lu berkata, kejohanan seperti ini penting bagi atlet muda negara untuk mengukur keupayaan mereka kerana sebelum ini pergerakkan terhad akibat penularan wabak COVID-19.

“Atlet Sukan Malaysia tidak boleh keluar untuk bertanding. Seperti yang anda tahu, prestasi ahli sukan akan bertambah baik kerana pendedahan yang diperolehi pada kejohanan – kejohanan besar,”katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.