Polis rampas 9,208.81 gram dadah, 504 individu ditahan

Spread the love

KUALA LUMPUR 26 Jun : Sebanyak 9,208.81 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah dirampas manakala 504 individu ditahan dalam serbuan pusat hiburan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun lepas. 

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM),  Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata daripada jumlah itu, 5,135.57 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah telah dirampas dan seramai 160 orang ditahan di ibu negara di bawah pelbagai seksyen kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata PDRM mengambil maklum terhadap pendedahan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia mengenai senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.

“PDRM sentiasa mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara dan sebanyak 194 serbuan telah dijalankan di seluruh negara. Bagi mencegah kegiatan maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah menjalankan Op Noda di lokasi yang disasarkan seperti rumah urut, hotel serta pusat hiburan.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak 995 serbuan telah dijalankan untuk tempoh Januari hingga April lepas dengan tangkapan seramai 2,948 orang terbabit dalam kegiatan pelacuran dan pusat hiburan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi Kontinjen Kuala Lumpur sahaja sebanyak 420 serbuan telah dijalankan dengan tangkapan seramai 1,115 orang bagi tempoh berkenaan.

“Selain itu, 55 serbuan juga telah dibuat melalui Op Bersepadu bersama lain-lain jabatan PDRM dengan tangkapan seramai 177 orang dalam tempoh sama, melibatkan serbuan ke atas premis hiburan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata dalam membanteras kegiatan haram ini, PDRM sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan kegiatan persundalan.

Oleh itu, Noorsiah berkata pihaknya juga mendapat kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk memantau laman sesawang internet bagi menyekat kegiatan sedemikian.

Katanya, PDRM terbuka untuk menerima sebarang maklumat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat melalui Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik  di talian 012-2087222.

“Bagi maklumat berkaitan kegiatan maksiat, boleh disalurkan melalui e-mel Bahagian D7 JSJ di alamat [email protected],” katanya.

Khamis lepas, Bernama melaporkan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) mendedahkan sebanyak 15 pusat hiburan di sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dipercayai didalangi oleh pemilik premis berkenaan dan sindiket dadah.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.