PM buat tinjauan mengejut harga barang

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Jun : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melakukan tinjauan mengejut buat pertama kali berkaitan situasi harga barangan di sebuah pasar raya di ibu negara.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ismail Sabri berkata beliau tidak menafikan terdapat kenaikan harga ayam dan barangan mentah lain sebelum tarikh kuat kuasa penamatan subsidi bagi produk terbabit.

“Ayam misalnya, kita masih beri subsidi hari ini sampai 30 Jun. Saya tidak faham kenapa pemborong jual pada harga RM8.90. Sebelum 30 Jun, masih lagi harga yang disubsidi oleh kerajaan, tidak sepatutnya sampai RM8.90 daripada pemborong kepada peruncit.

“… sepatutnya (harga ayam daripada pemborong) perlu lebih rendah sebab peruncit juga perlu mengambil keuntungan,” katanya di Quill City Mall di sini.

Perdana Menteri juga berkata beliau akan melakukan lebih banyak tinjauan sama selepas ini bagi memastikan tiada pencatutan harga barang oleh peniaga sebelum tarikh penamatan subsidi ayam dan beberapa barangan lain pada 1 Julai.

Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat khas dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) esok berhubung isu bekalan serta harga siling baharu ayam di pasaran.

Perdana Menteri berkata pada mesyuarat itu, beliau akan memaklumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bahawa harga barangan tidak seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk kenaikan beberapa produk lain seperti ikan.

“Saya harap MAFI boleh ambil tindakan dan KPDNHEP juga boleh mengenakan tindakan tegas kalau ada pencatutan yang melampau,” katanya.

Ketika tinjauan itu, beliau turut meluangkan masa mendengar suara dan keluhan rakyat yang membeli-belah di pasar raya tersebut.

Katanya rata-rata rakyat yang ditemui mengadu mengenai kenaikan harga barangan ketika ini.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.