Kilat Boy Sarawak juara Tinju Perlis Golden Glove, tewaskan petinju kebangsaan

Spread the love

KUCHING,  26 Jun : Daeloniel McDelon meneruskan rentak cemerlang dalam kariernya apabila meraih emas pada Kejohanan Tinju Perlis Golden Glove 2022.

Pada aksi akhir petang tadi, Daeloniel yang terkenal dengan jolokan Kilat Boy mencipta kemenangan sensasi apabila menewaskan atlet kebangsaan, Sheikh Ramatullah yang mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) bagi kategori 57 kilogram (kg) .

Dihubungi TVS sejurus menerima kalungan pingat emas di Dewan Rakan Sukan, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangan, petinju kelahiran Sri Aman itu meluahkan rasa teruja kerana menewaskan wakil negara yang beraksi pada Sukan SEA lepas serta dijangka akan mewakili Malaysia pada Sukan Komanwel akan datang.

“Alhamdulillah saya berjaya menewaskan dia yang merupakan pencabar utama untuk kejohanan ini.

“Saya turut gembira kerana berjaya mencatatkan kejayaan ini di hadapan Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli yang turut hadir,”katanya.

Pada aksi akhir tadi, Daeloniel mengalahkan lawannya menerusi kiraan mata membabitkan tiga pusingan.

Sementara itu, dia memberitahu, Mohamad Iruan turut mengucapkan tahniah kepadanya dan memberi bayangan bakal diserapkan ke kem tinju negara bagi mengharungi Sukan SEA di Kemboja pada 2023.

Kemenangan ini merupakan kejayaan kedua dalam tempoh kurang satu bulan buat petinju berbakat ini selepas turut mengharumkan nama negara apabila menjuarai Kejohanan Tinju Profesional Pakistan dengan menewaskan petinju tuan rumah, Sikender Abbasi menerusi pukulan Technical Knock Out (TKO).

Mengakhiri perbualan, dia merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak ,Perbadanan Sukan Sarawak dan Persatuan Tinju Negeri Sarawak kerana membantu kariernya malah turut memberi peluang untuk melangkah lebih jauh dalam sukan berkenaan. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.