Kapal bawa muatan pasir karam di Sungai Batang Igan, dua pekerja hilang

Spread the love

SIBU, 26 Jun : Dua pekerja sebuah kapal membawa muatan pasir hilang sementara dua orang lagi berjaya diselamatkan selepas kapal berkenaan karam di Sungai Batang Igan berdekatan Kampung Bungan Kecil, kira-kira 45km dari sini dari awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata identiti dua mangsa yang hilang itu masih belum dikenal pasti namun mereka dianggarkan berumur dalam lingkungan 20-an, sementara yang selamat berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

Beliau berkata PGO Sarawak menerima laporan dari Balai Polis Sungai Merah pada pukul 6.05 pagi menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah telah digerakkan ke lokasi.

“Semasa kejadian pelapor sempat menyelamatkan dua orang pekerja kapal dan dipercayai ada dua lagi pekerja kapal itu masih berada di dalam kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.