FINAS sediakan dana untuk kembangkan industri kreatif Sarawak

Spread the love

KUCHING, 26 Jun : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menyalurkan peruntukan sewajarnya kepada penggiat industri kreatif di di negeri ini dalam usaha membangunkan sektor berkenaan di negeri ini yang dilihat sangat berpotensi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, menerusi peruntukan itu, persatuan serta syarikat perfileman dapat menganjurkan kursus atau bengkel berkaitan untuk memantapkan bakat anak seni.

Menurut Dr Md Nasir, pihaknya memandang serius usaha untuk membangunkan dan meningkatkan industri kreatif di Sarawak.

“Ini kerana Sarawak mempunyai bakat muda serta penggiat industri seni yang boleh digilap hingga ke peringkat antarabangsa.

“Industri perfileman di Sarawak perlu dibangunkan secara holistik iaitu dari aspek pembangunan modal insan misalnya pelakon, krew dan juga pengarah perlu mempunyai kualiti yang tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Penggiat Industri Kreatif Sarawak di sini hari ini.

Seramai 40 penggiat industri kreatif Sarawak termasuk penerbit, pengarah, pelakon, penyanyi dan penulis skrip menghadiri program berkenaan.

Bagi merealisasikan hasrat berkenaan ujarnya, FINAS melalui dana pembangunan industri menyediakan peruntukan kepada persatuan dan syarikat di Sarawak untuk menganjurkan kursus.

“Kursus itu boleh dianjurkan sama ada di Sarawak atau Semenanjung Malaysia secara berfokus,” katanya.

Beliau yakin sesi tersebut bakal memacu industri terutamanya untuk mendapatkan pelbagai input dalam usaha menambah baik graf industri kreatif di Bumi Kenyalang.

“Setakat ini lebih kurang RM850 000 telah diluluskan di peringkat jawatankuasa bagi tujuan kursus, bengkel ataupun latihan di seluruh Malaysia,”katanya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.