FINAS mahu destinasi menarik Malaysia jadi lokasi wajib penggambaran

Spread the love

KUCHING, 26 Jun : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhasrat menjadikan destinasi menarik di negara ini sebagai lokasi wajib bagi produser filem dan drama antarabangsa menghasilkan penerbitan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, kesemua destinasi akan dipromosi menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Menerusi langkah mempromosi tempat-tempat menarik di negara kita, ianya pasti akan dapat menggalakkan penerbit luar datang untuk membuat penggambaran di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Sembang Santai bersama Penggiat Industri Kreatif di sini, hari ini.

Nasir memberitahu, Sarawak sebagai contoh turut mempunyai banyak lokasi strategik serta kekayaan, seni, budaya dan etnik yang sesuai untuk dijadikan latar penggambaran filem.

Justeru, beliau menyarankan supaya penerbit filem di negara ini boleh bekerjasama dengan penerbit antarabangsa menerusi program Co-Pro.

“Tahun depan kita mensasarkan dana Co-Pro yang mana penerbit tempatan dapat bekerjasama dengan rakan mereka di luar negara untuk menghasilkan filem.

“Melalui Co-Pro juga penerbit tempatan kita dijangka akan mendapat manfaat, melalui pertukaran ilmu, kemahiran dan pengalaman,”tambahnya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.