Cadangan kampus USM di Sarawak boleh manfaatkan pelbagai sektor

Spread the love

KUCHING, 26 Jun : Cadangan pembukaan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Sarawak perlu diberi pertimbangan serius kerana boleh memanfaatkan pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohamad Razi Sitam berkata, beliau menerima cadangan itu yang diusulkan oleh Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM) Sarawak.

Katanya, PAUSM bercadang untuk memanjangkan perkara itu kepada pengurusan tertinggi USM di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun kursus yang akan ditawarkan perlu bersesuaian dengan permintaan terutamanya bagi industri minyak, gas serta perkapalan.

“Ini adalah bagi memenuhi keperluan Sarawak yang menerima banyak tawaran kerjasama dengan syarikat luar negara,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Alumni USM Sarawak dan Ngiling Bidai sempena Gawai Dayak di sebuah hotel di sini hari ini.

PAUSM ditubuhkan pada 2015 bagi menggalakkan interaksi selain menjaga kebajikan mahasiswa universiti itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Razi yang juga Penaung PAUSM berkata, sekiranya hasrat berkenaan menjadi kenyataan, ia akan memudahkan urusan bakal pelajar USM dari Sarawak untuk menyambung pengajian mereka.

“Perjalanan ke kampus induk Pulau Pinang agak jauh dan memakan kos yang tinggi,”katanya.

Katanya lagi, Sarawak menerima banyak permintaan untuk bekerjasama dengan syarikat luar dalam industri berasaskan minyak, gas, perkapalan.

“Sekiranya ada anak tempatan yang mempunyai kemahiran profesional bidang berkenaan menerusi latihan dan pengajian di universiti seperti USM, ia merupakan peluang yang baik,”katanya. -TVS

Tags: IPTA, USM

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.