Usaha basmi keciciran pelajar di Sarawak ditingkatkan – Sharifah Hasidah

Spread the love

KUCHING, 25 Jun : Kerajaan Sarawak akan meluaskan program – program kesedaran untuk mengatasi masalah keciciran pelajar sekolah di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, sehubungan itu ekspo pendidikan yang dianjurkan serentak di seluruh negeri ini merupakan langkah tepat untuk memberi kesedaran berhubung kepentingan pendidikan.

Katanya, pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga boleh menjadikan ekspo pendidikan sebagai medium untuk mendapatkan maklumat berhubung perancangan pendidikan tinggi masing – masing.

“Penganjuran ekspo pendidikan ini mampu mengenal pasti serta membasmi isu pelajar tercicir untuk melanjutkan pengajian masing – masing disebabkan soal logistik atau tempat tinggal mereka yang jauh terpencil dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Pendidikan Daerah Kuching di Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan di sini hari ini.

Ekspo ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Yayasan Sarawak dan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen di seluruh Sarawak.

Menurut Sharifah Hasidah, ekspo pendidikan berkenaan juga membantu pelajar mendapatkan maklumat terkini mengenai kursus-kursus yang ditawarkan dengan penglibatan institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dibawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang komited untuk memastikan kita mempunyai modal insan yang berkualiti dan seterusnya memacu Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,”katanya.

Katanya, perkara berkenaan turut diperincikan dengan jelas dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Sehubungan itu Sarawak perlu meningkatkan pertumbuhan ekonomi antara enam hingga lapan peratus sehingga 2030 dan boleh menjadi kuasa ekonomi digital, memiliki infrastruktur dan utiliti yang sangat baik seterusnya rakyat menikmati pendapatan tinggi,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.