Sarawak jangka raih RM1 bilion hasil peningkatan pelancong

Spread the love

SIBU, 25 Jun : Hasil daripada pelancongan di Sarawak dijangka mencecah RM1 bilion berikutan ketibaan 420,150 pelawat lima bulan pertama tahun ini, peningkatan lebih daripada 600 peratus berbanding 56,278 pelawat bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata terdapat peningkatan 738 peratus atau 395,742 ketibaan domestik dari Semenanjung dan Sabah berbanding 47,170 bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata Sarawak menerima ketibaan 43,404 pelancong asing, iaitu peningkatan 376 peratus berbanding 9,108 pada tempoh sama 2021.

“Dari segi perbelanjaan pelancong, kami mencatatkan RM120 juta tahun lepas. Tahun ini dijangka akan meningkat ke RM1 bilion,” katanya ketika sidang media Festival Muzik ‘Tribal Broneo’ (BTMF) di sini semalam.

Mengenai festival muzik yang diadakan buat pertama kalinya itu, Abdul Karim berharap ia akan menjadi satu acara pengenalan buat Sibu, selain daripada Festival Kebudayaan Borneo (BCF), Festival Tarian Antarabangsa Sibu (SIDF) dan BASE Jump Antarabangsa Sibu.

Beliau berkata festival muzik seperti itu akan mengambil sedikit masa untuk menjadi popular, kerana sebaik ia diperkenalkan kepada dunia, ia akan manarik pengunjung yang ramai, bergantung kepada bagaimana ia dianjurkan.

Memberikan sokongan kementeriannya terhadap festival itu, beliau percaya ia mampu menjadi popular sama seperti Festival Muzik Hutan Hujan Dunia di Kuching dan Festival Jazz Borneo di Miri.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur acara itu, La Vie Event and Management yang telah mengambil langkah ke hadapan untuk menganjurkan program itu dalam usaha memastikan lebih banyak acara berlangsung di Sarawak.

BTMF yang akan memaparkan muzik dalam persepsi etnik dan kotemporari  akan berlangsung pada 23 dan 24 Sept di Esplanade Rajang dengan 10 persembahan oleh artis tempatan, Indonesia dan Vietnam.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.