Pengiktirafan CENTEXS bukti kejayaan Sarawak dalam pendigitalan

Spread the love

KUCHING, 25 Jun : Pengiktirafan sebagai Hab Ekonomi Digital di bawah Hab Kerjasama Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) membuktikan kejayaan Sarawak dalam aspek pendigitalan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengumuman itu juga menunjukkan kemampuan negeri ini melangkah ke hadapan dengan cepat untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Sasaran kita yang seterusnya ialah untuk diiktirafkan sebagai tempat digital daripada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Sekiranya ia menjadi kenyataan, ini bermakna kita sudah mempunyai ekosistem pelancongan,”katanya.

Pada Isnin lepas, Ismail Sabri mengumumkan CENTEXS sebagai hab berkenaan bersama 13 lagi kampus institut pengajian tinggi dan kemahiran lain dalam pelbagai kategori lain pada Majlis Penutup Minggu TVET di Shah Alam, Selangor.

CENTEXS menerima watikah pengiktirafan berkenaan semalam.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, ini menunjukkan hampir semua sektor di Sarawak sudah memulakan pendekatan berteraskan teknologi sejak 2018 hingga tahun ini.

“Oleh itu saya mahu mengucapkan tahniah kepada rakyat Sarawak kerana menerima dan menggunakan cara baharu,”katanya. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.