Harga ayam tidak diapung: ramai puji, harap harga siling baharu tidak membebankan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 25 Jun : Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam untuk tidak mengapungkan harga ayam, disambut baik oleh golongan peniaga, pengguna dan pemain industri.

Pada masa sama, mereka berharap harga siling ayam yang bakal diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam waktu terdekat, tidak membebankan pengguna dalam berhadapan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata langkah kerajaan itu dilihat sebagai usaha meringankan beban rakyat, dalam situasi peningkatan kos hidup.

Katanya harga makanan merupakan isu yang dekat dengan rakyat dan pengapungan harga ayam boleh menyebabkan harga ayam berisiko mencecah sehingga belasan ringgit setiap kilogram.

“Pada masa yang sama FOMCA berharap harga siling baharu bagi ayam yang akan diumumkan selepas ini, mampu mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak dengan kadar harga yang tidak membebankan pengguna dan penternak pula mampu menampung kos pengeluaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Perdana Menteri ketika mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak mengapungkan harga ayam dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban, berkata harga siling baharu ayam akan diumumkan dalam masa terdekat Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut Mohd Yusof untuk tempoh jangka panjang, kerajaan perlu memastikan pengeluaran makanan ruji negara dipertingkat, supaya bekalan dan tahap sara diri negara lebih tinggi berbanding sekarang dan tidak perlu terlalu bergantung kepada import makanan.

Sementara itu di Perak seorang peniaga ayam Muhammad Qusyairi, 30, berkata pengumuman kerajaan untuk tidak mengapungkan harga ayam melegakan ramai pihak dan berharap kerajaan terus mendengar keluhan rakyat dalam isu berkaitan bekalan makanan.

Sementara seorang pemain industri ayam di negeri itu Megat Fitri Hazheem, 25, berkata beliau berharap kerajaan memastikan harga siling ayam yang bakal diumumkan adalah mampu milik bagi semua orang.

“Apabila harga terlalu tinggi, pelanggan tidak mahu membeli ayam dan memilih untuk membeli ikan, udang dan sayur-sayuran. Jadi sudah tentu kami akan rugi. Bagaimanapun terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meneruskan harga apungan untuk bekalan ayam,” katanya. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.