Abang Johari saran lepasan SPM pilih jurusan selari dengan pembangunan baharu

Spread the love

KUCHING, 25 Jun : Premier Sarawak menyarankan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini supaya memilih jurusan yang selari dengan bidang pembangunan pesat yang sedang berlaku di Sarawak ketika ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini supaya Sarawak mempunyai graduan berkemahiran tinggi khususnya membabitkan bidang baharu.

Ujar beliau, bidang sains sebagai contoh mempunyai potensi besar serta mampu menyumbang kepada kemajuan selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak.

“Sarawak kini fokus kepada ekonomi baharu dengan teknologi bahan api alga boleh diperbaharui, bermakna tenaga kerja kita mestilah terdiri daripada mereka yang pakar dan mempunyai latihan di bidang sains, jadi saya sarankan jangan tertumpu ke arah sains sosial dan pembangunan sumber manusia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Negeri Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Ekspo berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Yayasan Sarawak dan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen berlangsung serentak di seluruh Sarawak.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak ketika ini mempunyai banyak nilai tambah untuk menyumbang kemampanan negeri dan seterusnya mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Sehubungan itu untuk mencapai hasrat ini, kita perlu melahirkan ramai tenaga kerja pakar bidang berkenaan (sains),”katanya.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan pelajar-pelajar di negeri ini mendapat pendidikan yang berkualiti dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengenai ekspo itu, seramai 12,000 peserta menghadiri majlis perasmian termasuklah pelajar di 43 daerah lain yang mengikutinya secara dalam talian.

Pada majlis itu juga, Abang Johari turut menyampaikan sijil kepada 33 pelajar cemerlang SPM 2021. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.