7 warga asing dipenjara 25 bulan ceroboh dan curi di pelantar Bintulu

Spread the love

KUCHING, 25 Jun : Tujuh nelayan asing dijatuhi hukuman penjara selama 25 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh dan mencuri di pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Bintulu.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 40 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas dua pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mengikut Akta Perikanan 1985 dibacakan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Bintu pada 21 Jun lepas.

“Kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 16 bulan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan manakala sembilan bulan penjara di bawah Akta Perikanan 1985 serta bot dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia,”jelas APMM Sarawak menerusi kenyataan media.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, hukuman itu diharap akan memberi peringatan kepada individu atau kumpulan dari dalam atau luar negara bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang boleh menjejaskan kedaulatan di perairan negara .

“Ini seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keselamatan perairan negara,”katanya.

Baca lagi > > > Penceroboh asing ditangkap di ‘Unmanned Platform’ di Bintulu

Pada 19 Mei lalu, APMM menahan sekumpulan warga asing yang menceroboh kawasan pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Bintulu.

Penceroboh juga didapati merosakkan peralatan dan barangan yang berada di pelantar itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.