MAFI, KPDNHEP adakan mesyuarat khas esok bincang bekalan, harga ayam

Spread the love

KUALA LUMPUR, 24 Jun : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pemain-pemain industri penternakan ayam, bagi membincangkan isu berkaitan bekalan dan harga siling baharu ayam di pasaran, esok.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini susulan keputusan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, bahawa harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

“Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan, demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia supaya bekalan ayam terus diperolehi, dengan harga kawalan yang berpatutan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan bersidang Isnin ini (27 Jun), bagi memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan intervensi yang dirangka untuk menangani isu bekalan makanan.

Menurutnya kerajaan akan meneruskan usaha memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Ronald berkata bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan ini dan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Keputusan tidak mengapungkan harga ayam itu bukti Perdana Menteri mengambil berat keluh kesah rakyat, memandangkan skim harga maksimum runcit ayam akan berakhir pada 30 Jun ini. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.