Ibu bapa lega PICKids diadakan secara ‘walk in’ minggu ini di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 24 Jun : Sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan 2022 , Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuka sesi khas bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Sesi selama lima hari itu yang bermula pada 20 Jun lepas dilihat telah memudahkan ibu bapa untuk mendapatkan suntikan vaksinasi tanpa janji temu di klinik kesihatan di bawah KKM.

Tinjauan TVS di Klinik Kesihatan Batu Kawa di sini hari ini mendapati ibu bapa yang ditemui berasa lega kerana anak mereka berpeluang untuk mendapatkan vaksin.

Malah mereka juga tidak memilih jenama kerana percaya semua vaksin yang disediakan mampu untuk melindungi anak-anak mereka daripada komplikasi teruk sekiranya dijangkiti COVID-19.

Kate Budop, 46, yang datang Serian berkata, perjalanan jauh tidak menjadi alasan untuknya mengabaikan hak untuk anaknya mendapatkan dos vaksin pertama.

Katanya, anaknya, Ahsley Alvira yang baharu genap lima tahun semalam sudah boleh divaksin hari ini.

“Kami sampai di klinik seawal pukul 7 pagi , sebelum itu saya dan anak bersarapan dalam kereta untuk menjimatkan masa,”katanya.

Pekerja sektor swasta itu memberitahu dia mengambil cuti memandangkan hari ini merupakan hari terakhir sesi khas PICKids.

“Ashley memberi kerjasama yang baik kerana dia faham vaksinasi ini bertujuan baik malah saya tidak perlu bersungguh -sungguh untuk memujuknya,” ujarnya lagi.

Pengalaman Kate yang sudah lengkap vaksinasi dan pernah disahkan positif virus itu namun hanya bergejala ringan turut menjadi alasan kukuh untuk dia memberi perlindungan yang sama kepada anaknya.

Bagi Mastelah Marali, 39, yang membawa anaknya, Nur Masfieqah Azila, 5, pula memberitahu, dia mahu segera memvaksin anaknya.

“Kami pernah datang sebelum ini tetapi Nur Masfieqah Azila ketika itu masih belum cukup umur,” katanya.

Mastelah juga berkongsi dia terpaksa menggunakan pelbagai alasan untuk memujuk anaknya termasuk memberitahu ‘tidak boleh ke sekolah’ sekiranya enggan mengambil vaksin.

“Oleh kerana anak saya teruja untuk memasuki alam persekolahan, dia setuju untuk mengambil vaksin dos pertamanya pada hari ini,” katanya.

Lain pula bagi Sena Jemali, 44, yang membawa anaknya, Nur Adawiyatul Mohd Danny, 7, mendapatkan dos kedua vaksin jenis Sinovac yang secara kebetulan jatuh pada hari terakhir pelaksanaan sesi khas PICKids minggu ini.

Sena berkata, pada mulanya anak perempuannya itu takut namun selepas disuntik dan tidak merasai kesakitan serius, anaknya tidak gentar untuk mendapatkan dos kedua hari ini.

Setakat 20 Jun, seramai 1,299,348 atau 36.6 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia dilaporkan telah lengkap divaksin.

PICKids yang ditutup pada 15 Mei lalu diadakan semula untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang masih belum lagi mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 masing-masing. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.