Boling Remaja Dunia Bawah 21 : Dua wakil Malaysia mara ke separuh akhir

Spread the love

KUALA LUMPUR, 24 Jun : Pasukan boling negara sudah pasti membawa pulang dua pingat pada Kejohanan Dunia Bawah-21 Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Helsingborg, Sweden.

Ini selepas dua pemain negara masing-masing perseorangan lelaki Ahmad Azriq Izamudin dan perseorangan wanita Alya Addini Zulamri, layak ke separuh akhir di Olympia Bowling.

Pada peringkat 16 terakhir, Ayla Addini mengatasi lawan untuk mendahului Kumpulan A dengan 15 mata selepas memenangi lima perlawanan dan tewas dua, sekaligus layak ke peringkat empat terakhir dengan kemenangan terbesarnya terhadap pemain Slovenia, Alja Bergauer (279-195).

Beliau akan bertemu Zoriani Reyes dari Puerto Rico untuk melayakkan diri ke peringkat akhir pada 29 Jun depan.

Sementara itu perseorangan lelaki Ahmad Aziq terpaksa melalui laluan lebih sukar untuk layak, selepas terikat di tempat kedua dalam Kumpulan A bersama atlet dari Singapura, Ryan Toh dan Viktor Brentebraten dari Norwich, yang masing-masing mengumpulkan 12 mata, manakala Carl Eklung mendahului kumpulan dengan 18 mata.

Dengan pemain kedua terbaik ditentukan menerusi pemainan tambahan, Ahmad Azriq memenanginya dengan 237 jatuhan pin, manakala pemain Singapura dan Norway masing-masing menjatuhkan 214 dan 205 jatuhan pin.

Beliau dijadualkan bertemu Junghun Bae dari Korea Selatan pada separuh akhir.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.