Sukan Komanwel : Tindakan Zii Jia mengecewakan – Timbalan CDM

Spread the love

KUALA LUMPUR, 23 Jun : Terkejut dan sangat kecewa. 

Begitulah reaksi Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro, apabila mengetahui jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menarik diri daripada temasya itu.

“Saya kecewa kerana ini adalah Sukan Komanwel dan kami sangat berharap beliau akan menyumbang pingat,” katanya kepada pemberita selepas melawat kem latihan pasukan badminton kebangsaan Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Malam tadi, Zii Jia menerusi sebuah video yang dikongsikan kepada media memaklumkan keputusan mengejutkan beliau untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Baca > > > Lee Zii Jia tarik diri beraksi pada Sukan Komanwel

Perseorangan nombor lima dunia itu menyatakan sebab utama beliau mengambil keputusan itu adalah kerana kesukaran menangani jadual yang padat, selain mahu memberi fokus pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, pada 22-28 Ogos ini.

Monteiro berkata kontinjen negara dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Zii Jia dan hanya mengetahui tentang perkara itu menerusi video tersebut.

Susulan tindakan Zii Jia itu, Monteira berkata pihaknya terpaksa mengkaji semula sasaran pingat yang diumumkan MOM minggu lepas.

Badminton diharapkan untuk menyumbang dua pingat emas, manakala gimnastik, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting masing-masing satu emas.

Sebelum ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran dua emas itu pada acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran.

Bagaimanapun, Monteiro masih berharap agar pemain badminton lain mampu bangkit memainkan peranan mereka dalam situasi itu bagi meraih kejayaan dalam badminton yang bakal berlangsung di National Exhibition Centre dari 29 Julai hingga 8 Ogos.

“Badminton sentiasa menyumbang pingat dalam setiap edisi seingat saya dan kami harap ia akan berterusan.

“Pada pandangan saya para pemain sedang melakukan persediaan dengan baik, tambahan pula mereka baru pulang dari kejohanan luar iaitu Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.