SEDC, Petronas, Sarawak Shell dan PTTEP HK meterai MoU bina loji di Bintulu

Spread the love

KUCHING, 23 Jun : Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Petronas, Sarawak Shell Berhad dan PTTEP HK Offshore Limited memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) untuk membina kompleks loji darat dalam Perindustrian Petrokimia Park di Bintulu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kompleks berkenaan adalah di bawah projek Sarawak Integrated Sour Gas Evacuation System.

Menurutnya,MoU itu merupakan pencapaian penting bagi memastikan bekalan gas yang mampan untuk pasaran industri dan domestik.

“Dengan adanya bekalan gas, kita akan dapat memacu serta mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi negeri ke arah industri hiliran bernilai tinggi selain mewujudkan industri baharu.

“Saya optimis bahawa dengan pengecualian Sarawak daripada Akta Pengagihan Gas dan diberi kuasa penuh di bawah Ordinan Pengagihan Gas, kita akan dapat mengorak langkah ke hadapan dengan yakin di bawah Pelan Tindakan Pengagihan Gas (Gas Distribution Blueprint) untuk terus memacu pembangunan dalam industri minyak dan gas Sarawak, secara huluan dan hiliran, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan majlis Sarawak Oil and Gas Services and Equipment (OGSE) Roadshow 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Tambahnya, komitmen Sarawak begitu jelas dalam mengekalkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif untuk pertumbuhan mampan industri minyak dan gas, kedua-dua huluan dan hiliran.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyeru setiap pemain industri minyak dan gas untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang betul termasuklah teknologi sebagai asas pertumbuhan dalam bidang ini.

“Selain itu, wajar untuk pemain industri membina keupayaan dan kecekapan dalam kawasan pertumbuhan baharu bagi meningkatkan daya tahan dan kekal berdaya saing selari dengan peralihan tenaga global,” katanya pada majlis berkenaan.

Jelas Mustapa, kelebihan elemen ESG akan mampu menyampaikan mesej yang betul kepada pelabur asing sekaligus memaparkan imej negara sebagai destinasi pelaburan untuk FDI berkaitan hijau.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.