Sarawak ulangi pendirian tidak pinggirkan Bahasa Melayu, namun Bahasa Inggeris akan terus digunakan

Spread the love

KUCHING, 23 Jun : Kerajaan Sarawak mengulangi pendirian untuk tidak mengenepikan Bahasa Melayu walaupun membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam urusan rasmi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, beliau senada dengan keputusan kepimpinan negeri berhubung perkara berkenaan.

“Baru-baru ini kita telah mendengar keputusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai Bahasa Inggeris akan terus digunakan dalam urusan harian dan rasmi di sini.

“Namun tidak bermakna kita (Sarawak) meminggirkan bahasa kebangsaan atau memencilkan bahasa etnik-etnik di negeri Sarawak, tidak sama sekali,”katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Wacana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sempena ulang tahun ke 45 penubuhannya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak tidak memainkan sentimen yang berniat jahat kerana ia boleh menggugat keharmonian dan kestabilan pelbagai etnik yang dikecapi oleh Sarawak selama ini.

Abang Johari Abang Openg baru – baru ini mempertahankan langkah Sarawak mengenai Bahasa Inggeris yang tetap digunakan sebagai bahasa rasmi selain bahasa kebangsaan.

Premier Sarawak itu berkata, langkah berkenaan tidak bermakna beliau menentang dasar kebangsaan namun ia dibuat berlandaskan perkara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas Lanjut, Sharifah Hasidah berkata, keputusan Abang Johari juga bertujuan untuk memperluaskan keupayaan komunikasi rakyat Sarawak terutamanya di peringkat antarabangsa.

“Pendekatan berkenaan adalah idea yang bernas kerana ia secara tidak langsung membantu dalam aspek perdagangan dan pendidikan,”katanya.

Namun demikian, beliau menegaskan kerajaan negeri akan memastikan bahasa kebangsaan akan tetap diutamakan dan tidak dipinggirkan selari dengan Perlembagaan Persekutuan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.