Premier Sarawak ucap selamat jalan kepada 142 bakal jemaah haji Sarawak

Spread the love

KUCHING, 23 Jun : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam ini menyantuni seramai 142 bakal jemaah haji dari Sarawak sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.

Abang Johari dalam ucapannya mendoakan kesemua bakal jemaah dapat melaksanakan ibadat dengan baik, tenang dan pulang dengan haji yang mabrur.

“Sama-sama kita menjaga kesihatan diri dalam situasi COVID-19 ini.

“Saya berharap para jemaah juga mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan supaya tidak mengundang penyakit berjangkit,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Keberangkatan Bakal Jemaah Haji Sarawak di sini, malam ini.

Turut hadir, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Pada tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi meluluskan kuota seramai 14,306 kepada bakal jemaah haji Malaysia untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan 344 orang merupakan jemaah dari Sarawak.

Abang Johari berkata, beliau turut berdoa supaya pada tahun mendatang, lebih banyak kuota haji diberikan kepada jemaah Malaysia.

Sementara itu, penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LIK) dijadual pada pukul 10.55 malam tadi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

Kumpulan berkenaan seterusnya akan meneruskan penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi dengan waktu ketibaan dijangka pada pukul 6.55 pagi waktu tempatan di sana.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan dilakukan Malaysia Airlines dan juga Saudia Airlines untuk membawa jemaah dari Malaysia.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.