Lebih 1,000 maut, 1,600 cedera akibat gempa bumi di Afghanistan

Spread the love

PAKTIKA (Afghanistan), 23 Jun : Angka korban akibat gempa bumi di Afghanistan meningkat kepada 1,000 orang, manakala lebih 1,500 yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu pada Rabu.

“Lebih 1000 terbunuh dan lebih 1,500 lagi cedera di wilayah Paktika setakat ini,” kata Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan wilayah itu.

Jumlah kematian dijangka terus meningkat berikutan berpuluh-puluh rakyat kini berada dalam keadaan kritikal dan operasi menyelamat masih diteruskan di daerah Gayan dan Barmal di wilayah itu, katanya.

Sekurang-kurangnya 29 terbunuh dan 95 lagi cedera di wilayah Khost, menjadikan jumlah korban setakat ini mencecah 1,029 dan 1,595 lagi cedera.

Paktika dan Khost menjadi wilayah paling teruk terjejas dengan ratusan kediaman musnah akibat gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda kawasan berkenaan pada malam Selasa.

“Banyak rumah musnah, dan ramai terperangkap di bawah runtuhan.

“Pasukan bantuan dari Kabul telah tiba dan operasi menyelamat sedang dijalankan. Semua agensi yang berkaitan harus menyalurkan bantuan ke Paktika,” kata jurucakap polis di Kabul, Khalid Zadran menerusi ciapan di Twitter.

Pegawai Taliban juga telah meminta bantuan disegerakan di kawasan yang dilanda gempa bumi.

Video dan foto yang tular di media sosial memaparkan banyak kediaman musnah. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.