Komitmen Sarawak teraju agenda tenaga boleh diperbaharui dipuji

Spread the love

KUCHING, 23 Jun : Komitmen kerajaan Sarawak dalam menerajui agenda tenaga boleh diperbaharui telah mendapat pengiktiran negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penubuhan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak menjadi bukti kepada komitmen negeri ini untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 baru-baru ini yang diadakan di Belanda, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menggariskan aspirasi Sarawak untuk menjadi wilayah bagi pelaburan bersih, hijau dan menjadi pembekal penting tenaga boleh diperbaharui, terutamanya hidrogen.

“Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang dilancarkan sangat menekankan kemampanan alam sekitar dan mencapai peralihan tenaga dengan meneroka lebih banyak peluang dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada Majlis Penutupan Jerayawara Minyak dan Gas, Perkhidmatan dan Peralatan (OGSE) Sarawak anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) dan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Ini katanya bukan sahaja penting dalam menangani perubahan iklim selaras dengan Agenda 2030 tetapi juga dalam mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang mampan melalui penciptaan peluang baharu yang bernilai tinggi dan menjana pendapatan.

Pada majlis sama, turut berlangsung majlis menandatangi perjanjian persefahaman di antara beberapa pemain utama industri minyak dan gas, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Petronas, Sarawak Shell Berhad dan PTTEP HK Offshore Limited.

Difahamkan perjanjian berkenaan adalah bagi membina kompleks loji darat di dalam Taman Perindustrian Petrokimia di Bintulu.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.