Kes varian Omicron lebih mudah merebak dikesan di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 23 Jun : Kes COVID-19 varian Omicron yang lebih mudah menular iaitu BA.2.12.1 dan BA.5 dikesan di Sarawak baru-baru ini.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr David Perera mendedahkan perkara demikian dalam laporannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Beliau berkata sejumlah 1,229 sampel kes positif berjaya disusun bagi tempoh 1 Mac hingga 16 Jun lalu.

“Kesemua dikesan sebagai kes varian membimbangkan (VOC). Sampel ini diambil daripada kes positif yang diperoleh di seluruh negeri,”katanya dalam kenyataan di sini.

Prof Dr Perera berkata daripada sampel tersebut, BA.2 terus menjadi sub-varian dominan Omicron COVID-19 dikesan.

“Bagaimanapun, pada minggu terakhir Mei, kami mengesan kejadian pertama BA.2.12.1 yang mudah menular daripada kes di Kuching dan  BA.5 di Sibu.

“Seterusnya, satu kes tambahan BA.2.12.1 dan tiga kes BA.5 dikesan di Kuching pada minggu kedua dan ketiga  bulan ini,”katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengumumkan kedua-dua sub-varian ini paling mudah berjangkit dan kadar penularan yang pantas berbanding induk Omicron VOC.

Susulan perkembangan terbaru itu, Prof Dr menasihatkan orang ramai supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri itu.

Örang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan suntikan dos penggalak jika belum berbuat demikian khusus bagi individu yang mempunyai komorbiditi dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas,”katanya. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.