Kes kesihatan mental belia Sarawak meningkat – MHAS

Spread the love

KUCHING, 23 Jun : Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) mendedahkan semakin ramai belia di negeri ini berdepan masalah berkaitan kesihatan mental.

Presidennya, Dr. Ng Boon Seng berkata, peningkatan itu dikesan berlaku ketika pandemik COVID-19 dan berlarutan setelah peralihan ke fasa pandemik ketika ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga pakar psikiatri tidak menjelaskan secara terperinci berkaitan peratusan peningkatan.

“Kalau kita lihat sejak pandemik, memang banyak peningkatan membabitkan masalah kesihatan namun tidak semestinya mempunyai sakit mental.

“Oleh itu, kita mahu kesan lebih awal (masalah kesihatan mental) melalui saringan kesihatan. Selepas itu kita akan mengenalpasti mereka yang memerlukan kaunseling secara berkumpulan atau individu,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Rakan Muda Comfort Room Sarawak 2022 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia,Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Program berkenaan merupakan inisiatif untuk membantu golongan belia untuk mengendalikan masalah mental yang dihadapi.

Mengulas lanjut sesi kaunseling berkenaan, Boon Seng berkata, sekiranya pihaknya mengesan pesakit mempunyai masalah mental yang teruk, mereka akan dirujuk kepada pakar.

Sementara itu, Gerald Rentap berkata, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan bagi menyediakan saluran yang betul kepada golongan belia yang berdepan masalah berkenaan.

Langkah itu katanya akan memudahkan kumpulan terbabit mendapatkan bantuan nasihat, bimbingan dan kaunseling daripada pakar untuk merawat masalah kesihatan mental yang dihadapi.

“Kemurungan yang dialami remaja ketika ini agak berbeza sejak pandemik.

“Saya berharap semua pihak termasuk ibu bapa harus memainkan peranan penting untuk membendung masalah ini,”katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.