Headhunters Softball Club juara Kejohanan Sofbol Slowpitch Carnival 2022

Spread the love

MIRI, 23 Jun : Headhunters Softball Club (HSC) muncul juara Kejohanan Sofbol Slowpitch Carnival 2022 yang berlangsung baru – baru ini.

Wakil Kuching itu menampilkan aksi cemerlang apabila menang kesemua lima perlawanan dengan memungut 10 mata dan meninggalkan Critters Miri di tempat kedua dengan sembilan.

Pertandingan secara liga itu menyaksikan HSC berjaya mencatatkan 51 larian menewaskan lima pasukan lain.

Pengurus HeadHunters, Haris Zainuddin berkata, beliau gembira dengan prestasi yang ditunjukkan pemainnya pada kejohanan berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah kerana selepas dua tahun aktiviti sofbol dihentikan di Sarawak akibat pandemik, saya gembira kerana akhirnya kita berpeluang menyertai pertandingan ini.

“Pada masa hadapan, saya berharap lebih banyak pertandingan sofbol dapat dianjurkan di Sarawak bagi mempromosikan sukan ini,”katanya kepada TVS selepas pertandingan.

Pertandingan yang dianjurkan secara bersama oleh Sarawak Sports Corporation (SSC) dan Persatuan Sofbol Sarawak (SSA) itu berlangsung di Pusat Belia Miri bermula 17 hingga 19 Jun lepas.

Selain Headhunters dan Critters Miri, pasukan lain yang mengambil bahagian termasuklah SSC, Tsunabees Softball Club, Vincero dan S.H.U.T daripada Miri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sofbol Sarawak, Ishak Chin berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan dengan kerjasama bersama SSC agar Sarawak dapat melahirkan golongan belia yang berbakat dalam sukan sofbol yang seterusnya boleh mewakili pasukan negeri ke peringkat kebangasaan.

“Selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh Persatuan Sofbol Malaysia, pembangunan golongan belia dalam sukan ini diberi keutamaan bagi melahirkan pemain-pemain bertaraf antarabangsa.

“Oleh kerana itu, kami sebagai penganjur telah mewajibkan setiap pasukan untuk mendaftar sekurang-kurangnya empat pemain di bawah umur 21 tahun dalam pasukan mereka,” katanya.

Sementara itu, pertandingan Homerun Derby yang dianjurkan pada hari terakhir kejohanan dimenangi oleh Sheikh Muhammad Khalid daripada pasukan Headhunters untuk kategori lelaki manakala  Nadia Chin daripada Tsunabees unggul dalam kategori wanita. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.