Julau tidak akan ketinggalan arus pembangunan

Spread the love

JULAU, 20 Jun : Penduduk kawasan Meluan tidak akan ketinggalan daripada pelbagai arus pembangunan yang dirancang oleh kerajaan demi memastikan keperluan dan kesejahteraan rakyatnya terus terpelihara.

ADUN Meluan Roland Duat Jubin berkata, permohonan untuk mendirikan sebuah dewan masyarakat yang baharu sedang dalam perancangan pihak kerajaan bagi memenuhi kepelbagaian prasarana di kawasan daerah tersebut.

Ujarnya, dewan yang sedia ada di Meluan tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

Selain itu, keperluan prasarana yang lain seperti pasar basah, kering dan sebagainya juga akan dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Malam Ngiling Bidai anjuran jawatankuasa ketua masyarakat dan ketua kaum di dewan masyarakat Julau pada malam Ahad.

Jelasnya, rancangan untuk membina dewan baharu itu telahpun dibincangkan dengan kementerian yang bertanggungjawab.

Oleh itu, beliau menaruh harapan ianya dapat diluluskan dalam masa terdekat ini.

Beliau juga meminta ketua masyarakat dan ketua kaum agar bekerjasama dengan pejabat daerah dalam usaha untuk merancakkan pembangunan sosioekonomi penduduk di bawah jagaan mereka.

“Ini untuk memastikan tiada kawasan yang tertinggal dalam arus pembangunan terutamanya dari segi ekonomi dan juga pendidikan,” katanya.

Pada majlis sama, Roland juga menyampaikan surat perlantikan kepada 11 orang ketua masyarakat dan ketua kaum yang baharu.

Beliau berharap kesemua mereka dapat menjalankan amanah masing-masing dengan baik agar agenda pembangunan dapat direalisasikan.

Hadir sama Residen Bahagian sarikei dan pegawai daerah Julau.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.