Pemimpin PBB perlu lantang bela nasib rakyat luar bandar – Abdullah

Spread the love

KUCHING, 19 Jun : Pemimpin – pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu lantang bersuara untuk membela nasib rakyat kawasan luar bandar.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Sayap Bumiputera PBB yang baharu, Datuk Abdullah Saidol berkata, ini kerana rakyat di kawasan berkenaan juga menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan seterusnya menuju ke arah negeri maju menjelang 2030.

“Saya rasa pemimpin PBB yang mewakili masyarakat di kawasan luar bandar harus berani dalam menyuarakan keadaan mereka di pedalaman, kerana semua ini dilakukan dengan niat untuk merapatkan jurang antara bandar dan desa.

“Sebagai contoh, tidak ada ladang seluas 3,000 ekar di bandar kerana kebanyakan ladang berada di luar bandar.

“Saya rasa mereka (rakyat luar bandar dan pedalaman) juga perlu diberi penghormatan sewajarnya kerana hasil mereka yang digunakan untuk membangun kawasan bandar menjadi lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Tritahunan PBB Ke-15 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut berterima kasih kepada pewakilan dari cawangan Sayap Pesaka PBB yang memilihnya mengisi 16 senarai ahli MT Sayap Bumiputera PBB.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Komunikasi, Penerangan dan UKAS) itu berkata, beliau difahamkan telah menerima undi yang tinggi dari Sayap Pesaka terutama dari cawangan parti itu yang wakil rakyat mereka bukan daripada PBB.

“Saya menghargai semua sokongan mereka,” katanya.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan pagi tadi, Abdullah merupakan antara calon yang memperoleh jumlah undian tertinggi iaitu sebanyak 836 undi.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.