Lebih 20 ribu lelaki dapatkan khidmat kaunseling

Spread the love

KUALA DUNGUN, 19 Jun : Seramai 22,156 orang lelaki di negara ini mendapatkan khidmat kaunseling daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atas pelbagai masalah sejak 2019 hingga Jun tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 33 peratus berkaitan masalah dengan pasangan, 20 peratus masalah kewangan, 17 peratus masalah keluarga manakala 30 peratus lagi lain-lain masalah.

“Kebanyakan lelaki yang telah menghadiri sesi kaunseling sama ada secara individu atau berkelompok tersebut adalah mereka yang berusia 40 tahun ke bawah dan usia perkahwinan antara setahun hingga lima tahun.

“Khidmat kaunseling yang diberikan melalui Helpline [email protected] ini adalah secara bersemuka dalam talian dan panggilan telefon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2022 di perkarangan Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat dan Timbalan Pengerusi LPPKN Mastura Mohd Darby.

Sehubungan itu Rina menyeru lebih ramai kaum lelaki khususnya golongan bapa supaya memanfaatkan bantuan psikososial yang disediakan LPPKN tersebut dan tidak menunggu sehingga masalah semakin kritikal, demi kesejahteraan mereka dan keluarga.

Dalam pada itu Rina berkata bersempena dengan Hari Bapa yang disambut hari ini dengan tema Kasih Bapa Pelindung Keluarga, kementerian melalui LPPKN menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan di setiap negeri secara percuma kepada 100 peserta lelaki terawal bermula hari ini hingga 25 Jun.

“Istimewanya sempena majlis perasmian Hari Bapa pada hari ini, LPPKN menyediakan 300 lagi tambahan saringan kesihatan kepada kaum Adam di sekitar Dungun,” katanya.

Selain itu Rina turut mengumumkan KNS LPPKN Dungun akan menjadi projek rintis pertama peringkat negeri yang menyediakan perkhidmatan tambahan khusus untuk bantuan psikososial dan pendidikan kesihatan kepada lelaki setempat.

Katanya ia sebagai tambahan kepada fungsi utama KNS LPPKN yang lebih menjurus kepada kesihatan reproduktif wanita.

“Sebelum ini perkhidmatan bantuan psikososial ini hanya disediakan di KNS LPPKN di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau menambah, setakat ini terdapat 49 KNS LPPKN yang beroperasi dalam premis di seluruh negara manakala terdapat 15 lagi KNS LPPKN yang beroperasi secara bergerak. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.