Warisan bertanding kerusi Parlimen dan DUN Perak yang diyakini boleh menang

Spread the love

IPOH, 18 Jun : Parti Warisan (Warisan) hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak yang diyakini mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Di Perak, kita tidak akan bertanding semua kerusi yang ada, kita akan selektif iaitu di mana kerusi yang kita yakin boleh menang.

“Ia bergantung kepada penemuan pihak pimpinan di peringkat Perak yang kita minta selaraskan bagaimana keadaan untuk mengenal pasti mana kawasan bersesuaian,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Borang Keahlian Warisan dan Sembang Santai di sini hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata setakat ini, Warisan giat memperkuat parti dan lima bahagian telah digerakkan di Perak sejak tahun lepas iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Parit serta Padang Rengas.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi di negeri lain dan perkara itu akan diumum setelah kajian diselaras di peringkat negeri.

“Warisan adalah parti pelbagai bangsa dan selepas ini mungkin ada gabungan parti lain kerana ada yang sudah menghubungi saya,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie menerima 1,200 borang keahlian daripada Ketua Penyelaras Warisan Perak Noor Hasnida Mohd Hashim pada majlis itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.